Edward Lee Thorndike



SEJARAH TEORI PELAZIMAN OPERAN THORNDIKE

            Teori Pelaziman Operan adalah sedikit berbeza berbanding teori Pelaziman Klasik kerana dalam teori Pelaziman Klasik, organisma akan memberikan gerak balas terhadap setiap ransangan yang diberikan, manakala bagi teori Pelaziman Operan pula, sesuatu organisma membuat gerak balas diingini dan kemudian akan diberikan ganjaran. Pembelajaran Pelaziman Operan juga ialah suatu bentuk pembelajaran seseorang yang menggunakan sesuatu gerak balas yang kukuh dan tetap dipilih daripada beberapa gerak balasnya.
            Secara asasnya, Teori Pelaziman Operan Thorndike adalah kajian pelaziman operan tahap primer atau ‘primary instrumental conditioning’, iaitu penghasilan gerak balas terlazim adalah berdasarkan peneguhan ransangan tak terlazim yang berkaitan. Pada awalnya teori ini dikenali sebagai Teori Ransangan –gerak Balas dan kajiannya pula dinamakan sebagai Pembelajaran Cuba-Ralat atau cuba jaya.
            Namun begitu, telah dikenalpasti bahawa gerak balas individu yang dipelajari dalam situasi eksperimen ini menunjukkan tingkah laku operan (instrumental behavior) yang mengandungi ciri-ciri spontan. Hal yang demikian, kajian pembelajaran Thorndike dapat dijadikan sebagai pelopor kepada pembelajaran pelaziman operan. Oleh itu, kajian Thorndike telah dikenali sebagai kajian pelaziman operan tahap primer oleh ahli-ahli psikologi.  





PENGASAS TEORI PELAZIMAN OPERAN THORNDIKE
 

Edward Lee Thorndike



BIOGRAFI :
Nama sebenar beliau ialah Edward Lee Thorndike. Beliau lahir pada 31 Ogos 1874 di Williamsburg, Mass. Kemudian, beliau meninggal pada 9 Ogos 1949 iaitu ketika usianya mencecah 74 tahun. Beliau merupakan warganegara Amerika dan menganut agama Kristian. Beliau telah mendapat pendidikan di Roxbury Latin, Wesleyan, Harvard dan Columbia. Selain daripada seorang profesor, beliau juga telah bekerja sebagai ahli psikologi dan dikenali sebagai ‘Father of modern educational psychology’. Tambahan pula, beliau telah berkahwin pada 29 Ogos 1900 dengan seorang gadis yang bernama Elizabeth Moulton. 

 

·         1895 – Mendapat ijazah daripada universiti Wesleyan
1896 – mendapat master di universiti Harvard
·         1898 – Mendapat Ph.D pada tahun  dari Columbia
·         1898 – Pembantu profesor pedagogi di Western Reserve University
·         1898 – Presiden Persatuan Psikologi Amerika
·         Penulisan beliau: Educational Psychology (1903), Mental and Social Mesurements (1904), Animal Intelligence (1911)
·         Presiden ke-2 persatuan Psikometrik
·         1934 – President of American Association for the Advancement of Science
PRINSIP TEORI PELAZIMAN OPERAN THORNDIKE
Beliau berpendapat bahawa pembelajaran merupakan proses cuba-ralat (trial and error) atau memilih dan menghubungkait (selecting and connecting). Proses cuba-ralat ini juga dikenali sebagai proses juba jaya. Latihan yang dilakukan secara berulang-ulang akan menyebabkan gerak balas yang dihasilkan pada peringkat permulaan akan semakin berkurangan. Manakala perhubungan antara ransangan dan gerak balas akan semakin kukuh.  
Gerak balas operan berlaku secara sendiri dan jika mendapat hasil yang berkesan, ia akan dikukuhkan dan dikekalkan. Gerak balas ini tidak sama dengan gerak balas yang dihasilkan daripada ransangan berdasarkan Teori Pelaziman Klasik. 
Beliau menggunakan kotak ajaib dalam eksperimennya yang berfungsi berasaskan prinsip pelaziman instrumental. Maksudnya disini ialah apabila ganjaran diberi, gerak balas yang terhasil akan berulang kerana sudah berlakunya proses pembelajaran. Tetapi, jika ganjaran tidak diberikan, gerak balas tersebut akan hilang secara perlahan-lahan. 


EKSPERIMEN CUBA-RALAT (1911)

1.    Kucing yang lapar dimasukkan ke dalam sangkar dan di luar sangkar diletakkan dengan semangkuk makanan.
2.    Kucing yang lapar cuba untuk keluar dari sangkar.
3.    Kucing tersebut terpijak tuil dan keluar daripada sangkar tersebut dan makan makanan yang terdapat di luar.
4.    Kucing tersebut mengulangi perkara yang sama untuk mendapatkan makanan di luar sangkar. 
5.   Kesilapan yang dilakukan semakin berkurangan.




Thorndike puzzle box



HUKUM PEMBELAJARAN THORNDIKE
Hukum pembelajaran Thorndike terbahagi kepada tiga iaitu hukum kesediaan, hukum latihan dan juga hukum kesan. Thorndike amat menyarankan bahawa ketiga-tiga hukum tersebut digunakan dalam mengawal pembelajaran manusia kerana beliau percaya jika hukum-hukum tersebut dipatuhi, maka pembelajaran akan menjadi mudah dan berkesan.
Hukum yang pertama ialah hukum kesediaan. Hukum ini adalah perkara yang paling penting dan asas sebelum seseorang murid memulakan pembelajaran. Seseorang murid hendaklah mempunyai persiapan yang rapi sebelum menghadapi sesi pembelajaran di dalam kelas. Selain itu, penekanan terhadap ganjaran hanya akan berkesan jika murid mahu menerima ganjaran tersebut. Sebagai contoh, ganjaran tidak semestinya berkesan untuk memujuk murid jika dia tidak bersedia untuk menjalankan aktiviti tersebut. Seterusnya, murid juga perlu dalam mempersiapkan diri dari segi kognitif, psikomotor dan efektif. Jika murid bersedia sepenuhnya untuk menjalani aktiviti pembelajaran, kesannya, pembelajaran yang mereka dapati bukan sahaja berkesan malahan mereka juga akan berasa seronok disepanjang proses pembelajaran tersebut.
Hukum latihan yang kedua ialah hukum latihan. Menurut Thorndike, persepsi perhubungan antara ransangan dengan gerak balas adalah mewakili konsep pembelajaran. Hal yang demikian, untuk meningkatkan perhubungan antara ransangan dan gerak balas, seseorang murid hendaklah diberi latihan yang banyak untuk mendapat kesan yang baik. Kesimpulannya, semakin banyak latihan yang diberi semakin kukuh ikatan antara ransangan dengan gerak balas seseorang murid. Contohnya, jika seseorang murid diberi latihan matematik dengan banyak, tempoh masa untuk murid tersebut menyelesaikan soalan matematik tersebut semakin singkat.
Hukum latihan yang ketiga ialah hukum kesan. Maksudnya di sini ialah sekiranya seseorang murid itu mendapat kesan pengalaman yang memuaskan daripada gerak balas yang dihasilkan, maka ikatan antara ransangan dan gerak balas akan semakin kukuh. Namun begitu, jika seseorang murid mendapat kesan pengalaman yang menyakitkan, gerak balas tersebut akan semakin menghilang. Perkara ini juga boleh dikaitkan dengan ganjaran dan denda yang diberikan berdasarkan gerak balas yang dihasilkan.
 


IMPLIKASI TEORI PELAZIMAN OPERAN THORHDIKE TERHADAP PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Implikasi yang pertama ialah untuk mempelajari tingkah laku, rangsangan perlu diwujudkan. Guru perlu menyediakan pelbagai sumber pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan mengagumkan agar proses pembelajaran yang berkesan boleh berlaku. Contohnya dengan menggunakan ICT dan juga audio atau video yang menarik agar murid dapat menjalani proses pembelajaran dengan berkesan.
Implikasi yang kedua ialah konsep hukum kesediaan boleh diperluas untuk digunakan di dalam bilik darjah. Seseorang murid perlu bersedia dari segi mental, minat dan sikap serta psikomotor sebelum pembelajaran berkesan dapat berlaku tetapi jika murid tersebut dipaksa belajar, pembelajaran tidak akan berkesan.
Implikasi yang ketiga ialah latihan dan pengulangan akan meningkatkan keberkesanan pembelajaran. Ia juga boleh meningkatkan kemahiran dan ingatan murid. Contohnya dengan memberi latih tubi, kuiz atau soal jawab yang kerap kepada murid.



ANALISIS TEORI PELAZIMAN OPERAN THORNDIKE MENGIKUT TEKNIK SWOT
1.    KEKUATAN (STRENGTH)
Kekuatan yang terdapat dalam Teori Pelaziman Operan Thorndike ialah teori ini  menggunakan kaedah cuba-ralat atau cuba jaya (trial and error) semasa proses pembelajaran berlaku. Proses memilih dan menghubungkait juga digunakan dalam teori ini. Berdasarkan eksperimen Thorndike, kucing tersebut telah menggunakan kaedah cuba-ralat untuk keluar daripada kotak ajaib tersebut pada situasi yang terdesak. Kaedah tersebut telah membolehkan kucing tersebut keluar daripada kotak tersebut dan makan makanan yang terdapat di luar kotak sebagai ganjaran.
Selain itu, kekuatan yang terdapat pada teori Pelaziman Operan Thorndike ialah gerak balas yang dihasilkan pada peringkat permulaan akan semakin berkurangan berdasarkan peneguhan dan latihan yang dilakukan secara berulang-ulang. Perkara ini telah membuktikan bahawa perhubungan antara ransangan dengan gerak balas bertambah kukuh kerana masa yang diperlukan oleh kucing untuk keluar daripada kotak ajaib semakin singkat dan cepat berikutan latihan dan peneguhan yang telah diberikan kepada kucing tersebut.
Tambahan pula, kekuatan lain pada teori Pelaziman Operan Thorndike ini ialah sesuatu pembelajaran akan berjalan lancar jika murid mematuhi hukum pembelajaran Thorndike iaitu hukum kesediaan, hukum latihan dan hukum kesan. Apabila seorang murid bersedia untuk belajar, pembelajaran yang dijalankan akan menghasilkan kepuasan tetapi jika sebaliknya dan murid itu dipaksa belajar, ia akan menghasilkan perasaan kecewa atau kesakitan. Pemberian ganjaran yang sesuai dengan murid juga akan mendorong mereka lebih bersedia untuk menjalani proses pembelajaran.

2.    KELEMAHAN (WEAKNESS)
Terdapat beberapa kelemahan yang terdapat pada teori ini. Pertama, teori ini hanya menekan pada satu kaedah sahaja iaitu mesti menggunakan kaedah cuba jaya iaitu cuba-ralat atau memilih dan menghubungkait untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Sekiranya seseorang murid itu tidak mempunyai keazaman yang kuat untuk mencuba kaedah ini, maka, gerak balas positif tidak mungkin akan terhasil. Kaedah ini hanya akan digunakan sekiranya murid tersebut berada dalam keadaan terdesak.
Selain itu, antara kelemahan lain yang terdapat pada teori ini ialah sesuatu pembelajaran tidak akan berjalan lancar jika murid tidak mengikut hukum pembelajaran Thorndike. Sebagai contoh, apabila seorang seseorang murid tidak bersedia untuk belajar dan dipaksa untuk belajar, ia akan menghasilkan parasaan kecewa atau kesakitan. Di samping itu, jika tidak banyak latihan dan peneguhan diberikan kepada murid maka gerak balas yang dihasilkan akan semakin menghilang.
Tambahan pula, pembelajaran tidak akan berkesan jika murid tidak bersedia dan dipaksa untuk belajar iaitu pada erti kata lain juga tiada ransangan yang diberikan kepada murid tersebut. Sememangnya gerak balas yang diberikan oleh murid akan bertambah baik sekiranya murid tersebut diberikan ganjaran yang bersesuaian. Namun begitu sekiranya ganjaran tersebut diberikan secara berlebihan, kesan gerak balas yang negatif mungkin akan terhasil. Sebagai contoh, murid akan bersifat riak dan bangga diri sekiranya mereka mendapat pujian yang berlebihan.

3.    PELUANG (OPPORTUNITY)
Terdapat beberapa peluang yang ditonjolkan melalui teori Pelaziman operan Thorndike ini lebih-lebih lagi terhadap proses pengajaran dan pembelajaran. Antara peluangnya ialah guru boleh menggunakan motivasi yang sesuai untuk meningkatkan kesediaan murid untuk belajar. Kesediaan murid untuk belajar adalah perkara yang paling utama kerana jika mereka bersedia, maka gerak balas yang positif akan dihasilkan. Motivasi yang diberikan adalah sebagai satu ransangan yang baik untuk meningkatkan semangat murid untuk belajar.
Selain itu, guru juga perlu memainkan peranan dengan menjalankan aktiviti yang lebih menarik dan menyeronokkan untuk menguatkan hubungan antara ransangan dan gerak balas bagi seseorang murid. Disebabkan oleh teori ini memberi penekanan terhadap tingkah laku kanak-kanak, maka aktiviti yang menarik akan mendorong murid untuk terlibat aktif dalam aktiviti-aktiviti tersebut.
Tambahan pula, guru juga perlu memberikan ganjaran yang sesuai supaya gerak balas yang dihasilkan oleh murid tidak lenyap. Pelbagai bentuk ganjaran boleh diberikan kepada murid seperti puji-pujian, token, lawatan, hadiah dan sebagainya. Ganjaran ini juga dapat memujuk murid untuk membuat latihan yang banyak supaya gerak balas yang dihasilkan adalah positif.
Di samping itu, guru juga boleh memberikan peluang kepada murid untuk menikmati kejayaan yang diperolehi dalam pembelajaran mereka. Guru tidak bolehlah memandang rendah dengan kejayaan yang telah dicapai oleh murid malah guru perlu memberikan sokongan yang padu supaya mereka tidak mudah putus asa dan akan terus mencuba untuk mencapai kejayaan yang mereka ingini.

4.    ANCAMAN (THREAT)
Walaupun pada teori ini terdapat peluang-peluang yang boleh digunakan, namun begitu, teori ini juga mempunyai ancaman-ancaman yang boleh menjadi penghalang terhadap penghasilan gerak balas yang positif oleh murid-murid. Ancaman yang pertama ialah sikap dan keinginan pelajar itu sendiri iaitu untuk menerima atau menggunakan kaedah cuba jaya atau tidak. Jika murid itu mempunyai sikap mudah berputus asa, maka teori yang dikemukakan ini tidak akan menjadi.
Di samping itu, apabila murid berhadapan dengan pengalaman yang menyakitkan hasil daripada gerak balas yang mereka berikan, maka, gerak balas tersebut akan semakin menghilang dan lenyap. Sebagai contoh, jika murid dikenakan denda walaupun dia sudah berusaha bersungguh-sungguh, kesannya, murid tersebut tidak akan meneruskan usaha untuk memberikan tindak balas yang lebih baik. Hal yang demikian, guru perlulah memberikan sokongan dan motivasi supaya murid dapat menghasilkan gerak balas yang diingini.



 

 
 
 

EDU 3103 Murid & Alam Belajar Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Emocutez